Tuesday, July 29, 2008

SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1986 Tuan Haji Hassan Bin Abdullah PMP.,AMP., Pegawai Daerah Kerian dan Tuan Haji Ismail Bin Salleh AMP., PPT. Pegawai Pelajaran Daerah Kerian telah berusaha mewujudkan sebuah sekolah kebangsaan du Kuala Gula. Pada 8 Februari 1987 bangunan Sekolah Kebangsaan Kuala Gula mula didirikan melalui peruntukan Projek Gotong Royong Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kos RM 50,000.00 bagi penyediaan 4 bilik darjah. Pada 28 Mac 1987 bangunan sekolah ini telahpun disiapkan. Pada 21 April 1987 seramai 35 orang murid telah mula belajar di sekolah ini dengan tenaga pengajar seramai 4 orang guru. Murid-murid ini terdiri daripada bekas murid SK Seri Pinang, SJK(T) Ladang Gula, SJK(C) Yuk Hwa dan SK Kuala Kurau.

SK Kuala Gula diletakkan di bawah Cawangan SK Seri Pinang 34400 Simpang Empat Semanggol, Perak. Tuan Haji Abdul Rahim Bin Haji Omar sebagai Guru Besar SK Seri Pinang membuat penyeliaan di sekolah ini sekali dalam seminggu. Encik Mohayiddin Bin Hasim dilantik sebagai Penyelia Sekolah ini sehinggga 15 November 1987.

Pada 1 Januari 1988 Encik Ghazali Bin Kasim telah dilantik sebagai Guru Besar sekolah ini. Dengan ini SK Kuala Gula tidak lagi menjadi cawangan kepada SK Seri Pinang.
Pada 10 Mac 1988 Kementerian Pendidikan telah meluluskan peruntukan melalui Projek Gotong Royong berjumlah RM 25,000.00 untuk membina 2 unit rumah guru.

Pada 12 September 1989 kerja-kerja membina dan menyiapkan bangunan 3 tingkat dan sebuah bangunan kantin kekal telah dimulakan di bawah peruntukan Projek Bank Dunia Ke Sepuluh dengan kos RM 823,751.70 dan penyerahan dibuat pada 7 Desember 1992.

Dari masa ke semasa jumlah murid dan guru telah bertambah secara perlahan-lahan. Sehingga kini jumlah guru adalah seramai 14 orang, seorang PTR dan seorang PRA telah berkidmat untuk murid seramai 140 murid termasuk murid Pra Sekolah.